Richard Chin Kongsi Kisah & Perasaan Peluk Islam
MakanBola
Malaysia NT

Pemain pertahanan Harimau Malaya, Richard Chin akhirnya mendedahkan kisah bagaimana beliau bergelar seorang Muslim.

Sebelum ini, ramai penyokong Malaysia terkejut melihat beliau memakai jubah semasa menghadiri program meraikan skuad negara dan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar baru-baru ini.

Malah, Richard juga melaksanakan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah. Detik-detik tersebut dikongsikan pengurusan skuad kebangsaan di platform media sosial.

Bekas pemain remaja Charlton Athletic itu juga mengiyakan pertanyaan seorang penyokong tentang statusnya sebagai Muslim.

Kini, Richard berkongsi dengan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom tentang bagaimana beliau bergelar seorang Muslim.

Pemain berusia 22 tahun itu mendedahkan beliau telah mengucap dua kalimah syahadah pada November 2024, 10 bulan sebelum dipanggil menyertai kem Harimau Malaya.

“Saya mengucap syahadah pada November (2024). Jadi, alhamdulillah, saya amat gembira menjadi seorang Muslim sekarang,” katanya.

Richard turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang terus memberi sokongan sehingga beliau dapat membuat penampilan pertama buat Malaysia.

“(Saya hargai sokongan) penyokong sejak beberapa tahun ini. Ia memberi saya motivasi untuk beraksi buat negara ini.

“Dan (memandangkan Malaysia) ialah sebuah negara Islam, itu menjadikan ia (penampilan pertama saya ini) lebih baik,” ujarnya.

Richard membuat penampilan pertama buat Harimau Malaya ketiak aksi menentang Palestin pada 8 September lalu.

Pemain pertahanan Raith Rovers itu masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan pemain pertahanan Selangor FC, Quentin Cheng.