Joao Figueiredo Ikrar Terus Cetak Gol Buat Malaysia
MakanBola
MALAYSIA NT

Pemain warisan baharu Malaysia, Joao Figueiredo berikrar mahu terus mencetak gol buat skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Beliau melakukan debut bersama skuad kebangsaan Malaysia ketika aksi menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun lalu dan Joao Figueiredo turut meledak gol bagi perlawanan tersebut.

Selepas itu, beliau meneruskan jaringan ketika aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin bagi aksi persahabatan bulan September ini.

Ini membuktikan kredibiliti beliau sebagai penyerang harus diberi perhatian oleh pasukan-pasukan kebangsaan dari Asia dan terutamanya Asia Tenggara.

Menurut Joao Figueiredo, beliau berharap dapat meneruskan rentak dengan membantu sumbangan gol untuk skuad kebangsaan Malaysia.

“Saya berharap dapat meneruskan prestasi terbaik ini dengan menjaringkan gol dan perkara paling penting adalah memenangi perlawanan.”

Tambah beliau, Palestin merupakan ujian terbaik sebelum bertemu skuad Laos pada bulan Oktober.

“Palestin merupakan ujian terbaik untuk skuad Malaysia dan saya berharap dapat membantu pasukan Harimau Malaya bagi aksi akan datang,” kata Joao Figueiredo ketika sesi temubual bersama Astro Arena.

Malaysia bakal meneruskan aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada bulan Oktober dengan menentang pasukan kebangsaan Laos.