Liga Super: JDT Pesta Gol Tumpaskan Penang
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan pasukan Harimau Kumbang dengan keputusan 6-0 bagi aksi saingan Liga Super pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad tuan rumah, Harimau Selatan menurunkan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Joao Figueiredo mengemudi jentera serangan manakala Arif Aiman menggalas lilitan kapten.

Sementara itu, Penang membariskan Khairulazhan Khalid di benteng terakhir dan Stefano Brundo selaku ketua pasukan skuad tersebut malam ini.

Pasukan JDT tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan apabila Jairo Da Silva berjaya meledak jaringan seawal minit ke 9′ bagi memastikan skuad tersebut mendahului aksi.

Skuad tuan rumah terus mengasak kubu pasukan Penang bagi menambah jaringan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.

Arif Aiman berjaya menambah jaringan skuad tersebut dengan dua gol pada minit ke 18′ dan 32′ sekaligus menjarakkan keputusan perlawanan dengan selesa.

Sementara itu, Joao Figueiredo turut berjaya meledak jaringan hasil kesilapan mudah penjaga gol Penang, Khairulazhan Khalid pada minit ke 33′.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 5-0 hasil jaringan pertahanan kental JDT, Jon Irazabal di waktu kecederaan.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad JDT terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke gawang pasukan Penang bagi menjarakkan defisit jaringan besar.

Antonio Glauder terus menambah derita skuad Penang dengan meledak jaringan ke 6 pada minit ke 52′ perlawanan sekaligus menutup peluang skuad Harimau Kumbang bagi kembali dalam aksi ini.

Pasukan Harimau Selatan tampak menguasai penuh perlawanan malam ini dengan melakukan beberapa percubaan dan mengawal penguasaan bola dengan agak lama.

Memasuki minit ke 75′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah dengan 6 jaringan di hadapan.

Perlawanan tamat dengan keputusan 6-0 sekaligus memastikan skuad Harimau Selatan mengutip 3 mata penuh bagi aksi ke 5 saingan Liga Super musim 2025-2026.