Facundo Garces Berpeluang Menentang Aymeric Laporte
MakanBola
DA/AC

Orang besi Harimau Malaya, Facundo Garces berpeluang menentang orang besi Sepanyol, Aymeric Laporte dalam saingan LaLiga.

Ini selepas Athletic Bilbao mengumumkan perpindahan bekas bek tengah Al-Nassr itu. Laporte menyertai kelab lamanya itu dengan kontrak sehingga 2028.

“Aymeric Laporte kembali menyertai Athletic Club dengan kontrak sehingga 2028,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Bek tengah antarabangsa itu kembali pulang ke Bilbao, tempat di mana beliau memulakan kariernya dan merekodkan 222 penampilan antara 2012 hingga 2018.”

Sebelum ini, perpindahan Laporte ke Bilbao hampir tergendala. Ini disebabkan Al-Nassr tidak memfailkan maklumat perpindahan secara dalam talian ke sistem perpindahan FIFA.

Selepas Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) membuat rayuan kepada FIFA, badan induk bola sepak dunia itu menerima rayuan RFEF dan membenarkan perpindahan tersebut diluluskan.

Bilbao memaklumkan sebaik saja mereka menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) dari Arab Saudi, mereka akan segera mendaftarkan Laporte.

Ramai penyokong Bilbao berharap bekas orang besi The Citizens itu dapat didaftarkan untuk aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ini kerana kelab itu akan berdepan siri tujuh perlawanan mencabar dalam tempoh 22 hari. Ini termasuk aksi pertama UCL menentang Arsenal pada 17 September.

Garces berpeluang menentang Laporte apabila Alaves bertemu Bilbao buat kali kedua dalam liga pada 3 Mei.

Fokus bek tengah berusia 25 tahun itu ialah membantu Alaves mencuri mata daripada anak buah Ernesto Valverde di San Mames pada 14 September ini.