PDRM berjaya menundukkan Negeri Sembilan dengan keputusan 1-0 namun kelebihan agregat 1-5 menyaksikan Negeri Sembilan mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini pada Jumaat.
Skuad tuan rumah, The Cops menurunkan Hakeem Hamidun di bahagian penjaga gol dan Park Tae-Su menggalas lilitan kapten manakala Hadi Fayyadh mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Negeri Sembilan membariskan Azri Ghani di benteng terakhir dan Mio Tsuneyasu sebagai ayam tambatan skuad tersebut bagi aksi malam ini.
Skuad The Jangs mendahului perlawanan apabila berjaya memenangi perlawanan pertama dengan bergaya 5-0 pada 18 Ogos lalu.
PDRM berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke 2′ perlawanan menerusi tandukan Fakhrul Azim sekaligus merapatkan defisit jaringan.
Negeri Sembilan turut melakukan percubaan ke arah gawang pasukan PDRM namun ketangkasan penjaga gol, Hakeem Hamidun harus diberi perhatian.
The Jangs dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi memperoleh gol tambahan untuk mematikan terus langkah skuad PDRM namun usaha tersebut gagal di separuh masa pertama perlawanan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, PDRM.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Negeri Sembilan dilihat terus melancarkan asakan berbahaya ke kubu PDRM bagi mencari jaringan tambahan.
The Jangs dilihat menguasai penuh perlawanan di separuh masa kedua bagi mengukuhkan kedudukan di hadapan dengan 4 defisit jaringan.
PDRM turut dilihat melakukan beberapa percubaan namun kesemua rembatan tersebut tersasar jauh dari gawang skuad Negeri Sembilan.
A.Selvan berjaya melepaskan satu rembatan kencang ke arah Hakeem Hamidun pada minit ke 82′ namun rembatan beliau berjaya ditepis dengan mudah oleh penjaga gol tersebut.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, PDRM namun Negeri Sembilan disahkan mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini selepas memenangi secara agregat 1-5.