Pengendali PDRM FC, Eddy Gapil enggan mengulas tentang spekulasi berhubung isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu.
Desas-desus tentang isu tunggakan gaji membabitkan The Cops mula tersebar sejak kebelakangan ini.
Spekulasi isu ini dilaporkan turut mempengaruhi prestasi pasukan itu di atas padang.
Sebelum aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA menentang Negeri Sembilan FC, PDRM gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
Ini termasuk kekalahan besar 5-0 di tangan Sang Rusa dalam aksi pertama Piala FA dan kekalahan 3-1 di tangan KL City FC.
Apabila diminta mengulas tentang spekulasi isu gaji yang melanda PDRM, Eddy enggan mengulas spekulasi berkenaan.
Ini kerana pada hematnya, pengurusan The Cops dilihat pihak terbaik untuk menjawab spekulasi isu tersebut.
“Saya rasa saya bukan orang yang sesuai untuk menjawab soalan tersebut. Lebih baik pihak pengurusan PDRM yang menjawab soalan itu,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
PDRM meraih kemenangan pertama musim 2025/26 apabila menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi timbal balik Piala FA.
Meskipun tewas, Negeri Sembilan tetap mara ke suku akhir Piala FA dengan keputusan agregat 5-1. Selepas ini, The Cops akan menentang Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) pada 20 September.