Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias menganggap hantaran pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail persis Kevin De Bruyne.
Pandangan itu dinyatakan bekas penjaga gol Harimau Selatan itu apabila ditanya siapa pemain tempatan yang memiliki hantaran serupa dengan bekas kapten Manchester City itu.
Farizal melihat hantaran-hantaran yang dibuat Afiq berupaya memerangkap pertahanan lawan sama seperti yang dilakukan De Bruyne.
Selain pemain tengah berusia 30 tahun itu, beliau turut menamakan Safiq Rahim dan Leandro Velasquez sebagai pemain yang memiliki kelebihan sama dengan jeneral tengah Belgium itu.
“Kalau untuk pemain tempatan, kita ada Safiq Rahim dan sekarang Afiq Fazail. Kalau untuk (pemain) import, saya pilih Leandro (Velasquez).
“Leandro (pemain tengah) berbeza daripada Kevin tetapi dia amat selesa dengan bola. Dia lebih kepada satu (atau) dua sentuhan (hantaran) bola sepak. Kalau Leandro, memang terbaiklah (hantarannya).
“Kalau untuk pemain tempatan, Afiq Fazail yang terbaik (dari segi) umpanan bola-bola ‘jahat’ ini,” katanya semasa menjadi tetamu program Borak Borak Botak.
Afiq antara tonggak utama JDT di bahagian tengah sejak tahun 2017. Beliau turut meraih pelbagai kejuaraan bersama Harimau Selatan seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.