LaLiga: Facundo Garces Pastikan Alaves Menang & Kebal vs Athletic Bilbao
MakanBola
Deportivo Alaves

Pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces tampil hebat dan cemerlang dalam memastikan kemenangan berharga dicapai oleh Alaves ke atas Athletic Bilbao dalam aksi LaLiga.

Pertemuan di San Mames ini menjadi tumpuan ramai peminat LaLiga di Sepanyol dan Malaysia khususnya untuk menonton aksi Facundo Garces yang kembali ke sesi latihan lebih awal.

Minggu lalu, Garces terlepas perlawanan penting menentang Palestin bersama skuad kebangsaan oleh kerana bek tengah ini mahu membuat persiapan awal bagi hadapi aksi LaLiga ini.

Persiapan awal ini tampaknya membuahkan hasil positif buat Alaves dan Garces sendiri apabila El Glorioso berjaya meraih kemenangan 1-0 mengatasi Athletic Bilbao pada awal pagi Ahad.

Khidmat Garces sekali lagi menjadi taruhan pengurus Alaves, Eduardo Coudet bagi digandingkan bersama Nahuel Tenaglia untuk menyekat asakan Athletic Bilbao di benteng belakang.

Gol sendiri daripada pemain Athletic Bilbao, Alex Berenguer di minit ke-57 memberikan 3 mata penting untuk Deportivo Alaves untuk kemenangan kedua kelab itu di pentas LaLiga.

Manakala, Facundo Garces tampak begitu kebal bersama rakan di benteng pertahanan dan menerima penilaian 6.8 oleh laman Sofascore untuk aksi cemerlang sepanjang 90 minit ini.

Berdasarkan statistik, Garces telah melakukan 7 clearances dalam aksi ini selain dua kali berjaya menghadang rembatan lawan dan sekali pintasan penting yang digerakkan Athletic Bilbao.

Selepas ini, tumpuan Garces bersama Alaves bakal terarah kepada pertemuan LaLiga berdepan kelab ternama, Sevilla pada awal pagi 21 September hadapan di laman sendiri.