Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matt Davies menjawab persoalan peminat mengenai status beliau bersama pasukan Harimau Selatan itu.
Nama Matt Davies menjadi tumpuan ramai penyokong ketika ini apabila kelibat pertahanan warisan Malaysia tak kelihatan dalam beberapa perlawanan bersama JDT sejak awal musim ini.
Kehadiran bek kanan baharu, Raul Parra pada 1 September lalu turut mengundang persoalan dalam kalangan peminat mengenai ‘kehilangan’ Matt Davies hingga tak dipanggil kem kebangsaan baru-baru ini.
Malah, dalam senarai pendaftaran awal pemain pasukan JDT dalam kejohanan AFC Champions League Elite (ACLE) turut menyaksikan tiada nama Matt Davies dan beberapa pemain yang lain.
Menerusi sebuah hantaran di Instastory, Matt Davies seakan menjawab persoalan peminat tersebut dengan sekeping foto beliau sudah kembali menyertai sesi latihan JDT baru-baru ini
”Masih ada,” tulis Matt Davies di catatan Instastory beserta emoji yang menggambarkan beliau akan kembali tidak lama lagi.

Difahamkan, Matt Davies mengalami kecederaan sebelum ini yang menyebabkan khidmat pertahanan berusia 30 tahun ini terpaksa disisihkan oleh JDT dan juga skuad Harimau Malaya dalam aksi terbaharu.
Gambar Matt Davies yang dimuat naik oleh Johor Southern Tigers juga meraih perhatian peminat yang mula rindu bagi menonton aksi hebat beliau di atas padang bersama Harimau Selatan.