Harimau Malaya Bakal Bertemu Nepal Di Malaysia Sekali Lagi?
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya dilapor bakal bertemu Nepal sekali lagi di Malaysia.

Kemungkinan ini timbul susulan khabar terbaru yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Beliau melaporkan pertembungan kedua-dua pasukan dijangka diadakan di Malaysia kerana stadium Nepal masih belum memenuhi keperluan yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Alasan sama turut menyebabkan aksi Nepal dan Vietnam pada Oktober ini dipindahkan ke Ho Chi Minh City.

“Harimau Malaya sekali lagi dijangka bertemu Nepal di laman sendiri susulan gelanggang tempat sendiri lawan masih belum memenuhi standard AFC seiring perubahan lokasi Nepal menentang Vietnam yang berpindah ke Ho Chi Minh, Oktober ini,” katanya di X.

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung perkara tersebut.

Pertemuan Malaysia dan Nepal sebelumnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Mac lalu. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 2-0 buat Harimau Malaya.