Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA meskipun tewas 1-0 kepada KL City FC.
The City Boys memerlukan dua gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. The Real Warriors hanya perlu mempertahankan kelebihan 3-1 untuk mara ke suku akhir.
Kpah Sherman terus menjadi sandaran gol pengendali KL City, Risto Vidakovic. Bekas pemain tengah KL City, Sebastian Avanzini bergandingan dengan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman di bahagian pertahanan.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah hampir mendahului seawal minit ketujuh menerusi pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Damyan Damyanov.
Safawi menyangka telah meletakkan KL City di hadapan tujuh minit selepas itu. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.
Selepas diminta menyemak semula insiden oleh pegawai VAR, Zamzaidi Katimin, gol tersebut dibatalkan Khairulsyahmi atas alasan bola terkena tangan Safawi.
KL City terus memberi tekanan kepada pasukan Pantai Timur itu tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, KL City terus memberi tekanan ke atas kubu Kelantan TRW untuk memecah kebuntuan.
Sherman hampir melakukannya seminit selepas babak kedua bersambung. Walau bagaimanapun, percubaan akrobatiknya segera dikeluarkan Azwan Aripin sebelum melintasi garisan gol.
Bekas pemain sayap Sri Pahang FC, Sean Selvaraj hampir meletakkan The Real Warriors di hadapan pada minit ke-51. Malangnya, rembatan lencongnya hanya melepasi palang.
Gol yang dicari KL City akhirnya hadir pada minit ke-71 menerusi Victor Ruiz. Bekas pemain remaja Valencia itu menyempurnakan hantaran Sherman yang menewaskan Damyanov.
Situasi ini mendorong jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan memasukkan Danial Haqim Draman dan Abdul Sesay sebagai pemain gantian.
The City Boys terus memberi tekanan untuk cuba mengheret perlawanan ke masa tambahan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Kelantan TRW akan menentang pemenang antara Sabah FC dan Bunga Raya FC di peringkat suku akhir.
Aksi kedua pusingan 16 kedua-dua pasukan itu di Stadium Likas sepatutnya berlangsung pada 13 September lalu. Walau bagaimanapun, aksi itu terpaksa ditangguhkan susulan hujan lebat dan padang digenangi air.
Selepas ini, The Real Warriors akan menentang PDRM FC pada 20 September. KL City pula akan terbang ke Bandar Seri Begawan untuk menentang Brunei DPMM FC pada 22 September.