Penilaian Dion Cools Naik Mencanak Dalam 4 Aksi Terakhir J-League
MakanBola
Cerezo Osaka

Pemain Harimau Malaya, Dion Cools terus konsisten bersama Cerezo Osaka menerusi peningkatan penilaian dalam 4 aksi terakhir J-League.

Kehadiran Dion Cools di Liga Jepun menjadi perhatian ramai peminat Malaysia yang melihat Cerezo Osaka adalah sebuah platform terbaik untuk beliau terus beraksi di tahap tertinggi.

Perkara biasa buat pemain baharu seperti Dion Cools yang memerlukan masa untuk beradaptasi, dengan lebih banyak tampil selaku pemain gantian pada permulaannya bersama Cerezo Osaka.

Walau bagaimanapun, pemain warisan Malaysia ini tampak sudah mula mendapat rentak dan menjadi pilihan jurulatih, Arthur Papas bagi tampil selaku bek kanan dalam beberapa aksi terakhir.

Dalam aksi berdepan Machida Zelvia pada 16 Ogos lalu, Dion Cools memperoleh penilaian 6.5 dari laman Sofascore namun akur ketika Cerezo Osaka tewas 0-3 di tangan juara bertahan J-League itu.

Cools tampil lebih baik pada aksi berikutnya ketika terikat seri menentang Vissel Kobe 1-1 dengan bintang berusia 29 tahun ini meraih penilaian 6.9 selepas cemerlang mengawal pemain lawan.

Draf peningkatan prestasi terus dipamerkan dengan ‘rating hijau’ 7.1 diterima oleh Dion Cools ketika membantu Cerezo Osaka mengikat Sanfrecce Hiroshima 1-1 pada penghujung Ogos lalu.

Pada aksi terakhir minggu lalu, Cools berjaya menyumbang tenaga ketika Cerezo Osaka mencatat kemenangan 4-2 ke atas Avispa Fukuoka dan prestasi pemain Malaysia ini dinilai 7.1 oleh Sofascore.

Peningkatan penilaian yang diterima Dion Cools dalam 4 aksi terakhir bersama Cerezo Osaka ini membuktikan tonggak pertahanan ini sudah mula mendapat keyakinan kendiri untuk beraksi.

Selepas ini, Cools dan Cerezo Osaka akan turun menentang Kashiwa Reysol pada Sabtu, 20 September di laman sendiri dengan misi meraih 3 mata bagi memperbaiki kedudukan di carta J-League.