ACLE: Xisco Munoz Berat Hati Gugurkan Pemain JDT
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui simpati terhadap sesetengah pemain yang tidak dapat dibawa untuk aksi pertama AFC Champions League Elite (ACLE).

Ketika ini, JDT sudah berada di Thailand untuk menghadapi perlawanan pembukaan ACLE 2025-2026 bertemu Buriram United pada Selasa dengan misi untuk meraih kemenangan pertama.

Seramai 29 pemain berada dalam senarai pendaftaran awal pasukan JDT yang mana menyaksikan beberapa nama telah diketepikan antaranya adalah Matt Davies, Heberty dan Hong Wan.

Selain itu, nama pertahanan, Feroz Baharudin beserta jeneral tengah kelahiran Sepanyol, Iker Undabarrena turut tercicir untuk perlawanan penting menentang kelab gergasi Thailand ini.

Situasi ini mendorong ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz untuk tampil memberikan kenyataan beserta penjelasan berhubung keputusan beliau mengetepikan 5 tonggak utama Harimau Selatan.

Menurut Xisco Munoz, lambakan pemain berkualiti di dalam pasukan ketika ini memberikan sedikit masalah buat barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan skuad terbaik untuk aksi ini.

Walau bagaimanapun, mereka perlu mematuhi peraturan yang termaktub dengan hanya 24 pemain terbaik sahaja tersenarai dan dibawa ke Thailand dalam misi penting ini.

”Salah satu masalah yang kami hadapi dalam skuad ialah kami memiliki 34 pemain yang sangat berkualiti.”

“Namun, kami perlu mengikut peraturan, dan peraturannya hanya membenarkan 24 pemain sahaja (untuk didaftarkan),” jelas Xisco Munoz ketika sidang media.

Jelas Munoz lagi, beliau berasa simpati terhadap pemain-pemain yang tidak dibawa setelah melihat mereka memberi komitmen penuh sepanjang sesi latihan bersama pasukan selama ini.

“Saya benar-benar simpati terhadap pemain yang kekal di Johor kerana saya tahu betapa keras mereka bekerja pada setiap hari dan sentiasa memberikan terbaik untuk pasukan.”

“Apa yang boleh saya katakan, inilah pilihan yang perlu dibuat dan inilah situasinya tapi saya tetap kasihan terhadap mereka kerana setiap hari di dalam latihan, mereka akan memberikan komitmen maksimum.”

Xisco Munoz dan JDT akan berdepan ujian Buriram United dalam aksi pembukaan ACLE pada Selasa di Chang Arena dengan sepak mula perlawanan jam 8.15 malam waktu Malaysia.