Faiq Bolkiah Bakal Warnai Liga Malaysia?
MakanBola
Ratchaburi FC

Nama Faiq Bolkiah berpotensi mewarnai saingan Liga Malaysia musim 2025/26.

Ini kerana pengurusan Brunei DPMM FC menyatakan keinginan untuk merekrut pemain sayap berusia 27 tahun itu pada Januari tahun hadapan.

Faiq yang turut dikenali sebagai pemain terkaya dunia ketika ini mewakili kelab Thai League 1, Ratchaburi FC. DPMM berharap dapat merekrut khidmatnya apabila tetingkap perpindahan tersebut dibuka.

“Faiq Bolkiah bakal dilepaskan dari kelabnya sekarang Ratchaburi yang beraksi dalam Thai League 1 di Thailand.

“Pada musim 2022/2023, beliau bermain sebanyak 19 kali untuk Chonburi FC sebelum berpindah ke Ratchaburi pada musim 2023/2024.

“Tetapi (khidmat) Faiq dijangka dibuka untuk perpindahan pada Januari (2026) dalam tetingkap perindahan (Liga Malaysia) seterusnya,” kata kelab itu.

Satu pemain yang dijangka memperkuatkan DPMM pada bulan hadapan ialah penyerang muda, Hakeme Yazid Said.

Penyerang berusia 22 tahun itu ketika ini menjalani Program Khidmat Bakti Negara (PKBN). Khidmat Hakeme dijangka ditagih jurulatih DPMM, Jamie McAllister sebaik beliau selesai menjalani program itu pada awal Oktober ini.

DPMM juga dilapor sedia menawarkan sesi percubaan buat bekas pemain Manchester United, Tyler Blackett. Sebelum ini, beliau pernah beraksi untuk Rotherham United dan FC Cincinnati.