Juara Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim lalu, Al-Ahli nyaris menjadi mangsa kejutan bekas orang besi Selangor FC, Umarbek Eshmurodov dalam aksi pertama Liga Barat ACLE.
Selepas ketinggalan dua gol, mereka bangkit menewaskan kelab Umarbek, FC Nasaf dalam aksi pertama yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi awal pagi ini.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan bekas penyerang Brentford, Ivan Toney mengetuai serangan tuan rumah. Bekas orang besi Selangor FC, Umarbek mengemudi benteng pelawat.
Nasaf yang dibimbing Ruzikul Berdiev mencipta kejutan dengan meledakkan dua gol pada separuh masa pertama. Penyerang berusia 23 tahun, Khusayin Norchaev mencetak nama sebagai penjaring.
Ini membolehkan Nasaf mendahului juara bertahan ACLE itu 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Al-Ahli tampil lebih garang. Bekas penyerang VfB Sttutgart, Enzo Millot meledakkan dua gol pada minit ke-65 dan 68 untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Riyad Mahrez menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol pada minit ke-94.
Mohammed Sulaiman melengkapkan kebangkitan Al-Ahli dengan gol pada minit ke-105. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Al-Ahli menerajui Liga Barat ACLE dengan kelebihan jaringan berbanding pencabar terdekat dan juara ACL2, Sharjah FC.
Selepas ini, Umarbek dan Nasaf akan menentang satu lagi wakil Arab Saudi, Al-Hilal pada 29 September. Al-Ahli pula akan menentang Al-Duhail pada 30 September.