Machida Zelvia berjaya mengikat pasukan Seoul pada minit ke 80′ perlawanan sekaligus memastikan kedua-dua kelab membawa pulang 1 mata berharga bagi aksi pembukaan.
Pasukan tuan rumah, Machida Zelvia menurunkan Kosei Tani di bahagian penjaga gol dan Daihachi Okamura sebagai benteng pertahanan manakala Se-hun Oh mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, Seoul membariskan Cheol-won di benteng terakhir dan bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard sebagai ayam tambatan skuad tersebut.
Skuad tuan rumah, Machida Zelvia dilihat melancarkan beberapa percubaan berbahaya di awal minit permainan bagi menceriakan penyokong sendiri di Stadium Machida Athletic namun segala usaha tersebut gagal menerjah jaring.
Seoul yang dibarisi ramai bintang turut melakukan asakan dan rembatan kencang ke arah gawang pasukan tuan rumah, Machida Zelvia namun ketangkasan penjaga gol, Kosei Tani harus diberi pujian.
Seoul dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 40′ hasil kesilapan pihak lawan namun selepas penilaian VAR (Video Assistant Referee) sepakan tersebut dibatalkan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad pelawat Seoul dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi memperoleh gol pendahuluan perlawanan.
Seoul berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 59 oleh Marko Dugandzic dengan bantuan Jesse Lingard.
Machida Zelvia yang tersentak dengan jaringan tersebut tampak melancarkan serangan berbahaya ke arah kubu skuad Seoul sejurus gol pertama skuad tersebut.
Skuad tuan rumah, Machida Zelvia berjaya menyamakan kedudukan perlawanan pada minit ke 80′ menerusi Henry Mochizuki bagi memastikan skuad tersebut membawa pulang 1 mata berharga.
Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi aksi pembukaan ACL Elite musim baharu kedua-dua kelab.