Pengendali Buriram United, Osmar Loss Vieira mengakui taktik berbeza Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir memerangkap pasukan itu.
Hal ini dinyatakan beliau selepas aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Buriram dan JDT di Stadium Buriram.
Selepas ketinggalan menerusi Antonio Glauder, Thunder Castle bangkit pada separuh masa kedua menerusi Suphanat Mueanta dan Robert Zulj.
Vieira mengakui percaturan berbeza yang dibuat jurulatih Harimau Selatan, Xisco Munoz mengakibatkan Buriram berdepan kesukaran pada separuh masa pertama.
“Semasa perlawanan, kita kena analisis perlawanan dan cari solusi. Johor Darul Ta’zim bermain dengan gaya yang kita tidak sangkakan. Mereka mengatur serangan dengan seorang pemain tengah.
“Tapi saya fikir pasukan saya bangkit pada separuh masa kedua untuk melakukan tugas yang lebih baik dan bermain lebih agresif, sekaligus membawa kepada tiga mata dalam aksi berkenaan,” katanya.
Keputusan ini menyaksikan Buriram kini menghuni tangga ketiga Liga Timur ACLE di belakang Sanfreece Hiroshima dan Gangwon FC.
Selepas ini, Buriram akan menentang Bangkok United untuk aksi terbaru Thai League 1 pada 21 September.