Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi tidak melihat isu beraksi pada jam 6 petang ini bagai satu bentuk kerisauan menjelang pertemuan menentang Bangkok United pada Khamis.
Kedua-dua akan turun berentap pada Khamis membawa misi cukup besar membuka kempen AFC Champions League Two (ACL2) dengan kemenangan dalam aksi pertama kumpulan B ini.
Sungguhpun begitu, waktu sepak mula perlawanan tumpuan ini menjadi bualan ramai penyokong apabila dijadualkan tepat jam 6 petang berbanding waktu kebiasaan pada malam atau sekitar jam 5 petang
Katsuhito Kinoshi ketika ditemui di sesi sidang media pada Rabu melihat cuaca ketika ini tidak menentu pada sebelah petang dengan ada masanya terlalu panas dan sebaliknya.
”Kami selalu menjalani latihan pada jam 5.30 atau sekitar jam 5 petang dan cuacanya sangat panas tetapi ada masanya tak terlalu panas.”
Oleh itu, cabaran bermain ketika cuaca di sebelah petang ini akan dihadapi baik Selangor mahupun Bangkok United dan Kinoshi mahu para pemain fokus kepada permainan pasukan.
”Keadaan cuaca ini juga sama buat kami dan pasukan lawan (Bangkok United), jadi kami hanya perlu fokus kepada corak permainan.”
”Jika cuaca pada esok (Khamis) panas, kami okay dan jika cuacanya tidak panas, kami pun okay.”
Tambah jurulatih kelahiran Jepun itu, bermain jam 6 petang seperti yang dijadualkan oleh pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ini masih boleh diterima dan tidak merisaukannya.
”Saya tidak risau tentang bermain jam 6 petang, jika jam 3 atau 4 petang ianya agak teruk tapi jam 6 petang ini masih boleh diterima,” jelas Kinoshi.
Aksi Selangor vs Bangkok United akan berlangsung pada 18 September dengan sepak mula aksi dijadualkan tepat jam 6 petang waktu Malaysia.