Dilantik Selaku Menteri, Erick Thohir Jawab Isu Lepaskan Jawatan Presiden PSSI
MakanBola
PSSI

Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dilaporkan bakal melepaskan jawatan dalam badan induk bola sepak itu.

Hal ini selepas Erick Thohir telah dilantik secara rasmi selaku Menteri Belia dan Sukan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam satu majlis yang diadakan di Istana Negara pada Rabu.

Pelantikan Erick Thohir ini menjadi tumpuan kerana beliau masih bergelar Presiden PSSI dan menimbulkan persoalan mengenai kewajaran untuk memegang kedua-dua jawatan penting itu dalam masa yang sama.

Apabila ditanya, Erick Thohir enggan memberikan jawapan yang jelas sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada pihak badan induk bola sepak dunia, FIFA.

“Nanti itu ada prosesnya di FIFA. FIFA sebagai badan sukan bola sepak tertinggi dunia akan menentukan perkara ini,” kata Erick Thohir menurut laporan CNN Indonesia.

Apabila diasak mengenai pandangan peribadi, Erick Thohir tetap mengulangi pendiriannya bahawa segala keputusan terletak di tangan FIFA.

“Semua ikut aturan daripada FIFA,” jelas beliau ringkas.

Erick Thohir mengambil alih peranan selaku Menteri Belia dan Sukan Indonesia yang baharu daripada Dito Ariotedjo yang dilucutkan jawatan pada Isnin lalu.