Vissel Kobe membuka kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan kemenangan apabila menewaskan juara bertahan Chinese Super League (CSL), Shanghai Port.
Kedua-dua pasukan bukan saja memburu kemenangan pertama dalam ACLE musim 2025/26. Malah, ini peluang anak buah Kevin Muscat menamatkan rekod buruk mereka dengan Kobe sejak musim 2020.
Gustavo menjadi pilihan Muscat untuk mengetuai serangan Port. Penyerang Jepun, Yuya Osako mengetuai jentera serangan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium Bola Sepak Pudong.
Kobe membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi pemain sayap Brazil, Erik. Bekas pemain Changchun Yatai itu melepaskan rembatan deras ke penjuru atas gawang Port.
Lapan minit selepas itu, Gustavo hampir menyamakan kedudukan buat tuan rumah. Malangnya, tandukan derasnya pantas dinafikan Daiya Maekawa.
Maekawa terus menjadi penghalang antara Port dan gol penyamaan. Beliau menafikan percubaan Li Shenglong selepas menerima hantaran Gustavo pada minit ke-32.
Kegagalan Port memanfaatkan peluang demi peluang pantas dihukum Kobe. Taisei Miyashiro menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-41.
Osako memastikan Kobe mendahului 3-0 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-44.
Bersambung pada babak kedua, Muscat membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengubah momentum kepada Port.
Shenglong sekali lagi menguji kecekapan Maekawa pada minit ke-57. Malangnya, penyerang berusia 33 tahun itu terus dihampakan oleh penjaga gol Jepun itu.
Port terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup buat Kobe merampas tampuk pendahulu Liga Timur ACLE.
Sofascore memilih Erik sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan markah 8.1. Ini selepas pemain sayap Brazil itu merekodkan satu gol dan satu bantuan gol.
Selepas ini, Port akan menentang Beijing Guoan pada 21 September. Kobe pula akan menentang Tokyo Verdy pada 23 September.