Tunku Ismail Bertemu Xisco Muñoz, Tinjau Latihan JDT Dari Dekat
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor tiba memantau sesi latihan pasukan kendalian Xisco Munoz sebaik tiba dari Thailand.

JDT baru pulang dari Thailand setelah mengalami kekalahan kepada Buriram United dalam perlawanan pembukaan AFC Champions League Elite (ACLE) 2025-2025 di tempat lawan pada Selasa.

Kekalahan 2-1 di tangan Buriram United itu tampak sungguh pahit untuk ditelan lebih-lebih lagi ketika mana JDT terlebih dahulu berada di hadapan pada babak pertama menerusi gol Antonio Glauder.

Walau bagaimanapun, kebangkitan oleh pasukan tuan rumah berjaya membuatkan gawang JDT dibolosi sebanyak dua kali dalam tempoh 4 minit hasil jaringan Suphanat Mueanta dan Robert Zulj.

Keputusan di Thailand itu memberi pengajaran berguna buat barisan pemain serta pasukan Harimau Selatan yang dengan pantas turun menjalani sesi latihan meski baru sahaja beraksi semalam.

Sesi latihan pasukan pada Rabu itu turut dihadiri oleh Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berkenan untuk meninjau keadaan semasa kesemua pemain dan pegawai.

Malah, Baginda turut dikesan sempat bertemu dengan ketua jurulatih, Xisco Munoz dan dilihat berbincang bersama ketika berada di tepi padang berkemungkinan besar melibatkan hal pasukan JDT.

Ujian seterusnya menanti JDT adalah bertemu Sabah dalam aksi Liga Super pada Ahad ini di Stadium Sultan Ibrahim dan berdepan Bangkok United untuk perlawanan kedua Shopee Cup minggu hadapan.

Bagi saingan ACLE pula, JDT akan melayani kunjungan kelab Jepun, Machida Zelvia di tempat sendiri pada 30 September dengan misi untuk menebus kekecewaan tumpas dalam aksi pertama lalu.