Gol minit akhir Virgil van Dijk memastikan Liverpool meraih kemenangan 3-2 ke atas Atletico Madrid dalam aksi pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih mata pertama di peringkat liga UCL. Malah, ini peluang buat anak buah Arne Slot menjadikan kemenangan hari ini sebagai hadiah hari lahirnya yang ke-47.
Bekas bintang Newcastle United, Alexander Isak membuat kemunculan pertama dalam kesebelasan utama The Reds. Pemain tengah England, Conor Gallagher mengemudi jentera tengah Los Rojiblancos.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool membuat permulaan pantas dengan menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit.
Bek kiri Scotland, Andrew Robertson menceriakan penyokong di Anfield dengan gol pada minit keempat. Sepakan percuma Mohamed Salah terkena tumit beliau yang menewaskan penjaga gol Atletico, Jan Oblak.
Atletico bernasib baik apabila sepakan penalti tidak diberi kepada The Reds pada minit ke-36. Walau bagaimanapun, VAR tidak menganugerahkan penalti kerana bola tidak terkena tangan Clement Lenglet.
Dua minit kemudian, giliran Salah menggandakan kelebihan tuan rumah. Selepas menerima hantaran Ryan Gravenberch, pemain Mesir itu melepaskan rembatan yang menewaskan Oblak.
Pemain tengah Sepanyol, Marcos Llorente memastikan Atletico tidak ketinggalan semasa rehat dengan gol pada minit ke-46.
Bersambung selepas rehat, pengendali Los Rojiblancos, Diego Simeone memasukkan Koke, Alexander Sorloth and Nahuel Molina untuk mengubah momentum perlawanan.
Liverpool hampir menambah gol ketiga menerusi Salah pada minit ke-65. Walau bagaimanapun, percubaan derasnya hanya terkena tiang gol Atletico.
Pelawat terpaksa menunggu sehingga minit ke-81 untuk meraih gol penyamaan. Marcos Llorente melepaskan rembatan yang terkena Alexis MacAllister sebelum menerjah jaring.
Tatkala Atletico menyangka mereka berjaya mencuri satu mata dari Anfield, van Dijk muncul wira buat Liverpool. Orang besi Belanda itu membuat tandukan yang menewaskan Oblak.
Keputusan ini menyaksikan Liverpool menduduki tangga ketujuh di belakang Qarabag FK. Atletico pula menduduki tangga ke-28 tanpa sebarang mata.
Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.2. Beliau mengatasi van Dijk dengan kelebihan 0.1 mata.
Selepas ini, Liverpool mengalihkan fokus kepada pertembungan Merseyside dengan musuh tradisi, Everton pada 20 September. Atletico pula akan menentang Real Mallorca sehari selepas itu.