Sepanyol Rancang Boikot Piala Dunia 2026 Jika Ada Negara Haram
MakanBola
Seleccion Espanola

Sepanyol bersedia mempertimbang memboikot saingan Piala Dunia 2026 jika disertai oleh rejim Israel.

Give Me Sport melaporkan cadangan tersebut dibuat kerajaan Sepanyol selepas mengambil kira perkembangan semasa di Palestin terutama di Semenanjung Gaza.

Parti pemerintah Sepanyol, PSOE tidak menolak kemungkinan tersebut seandainya rejim berjaya layak ke Piala Dunia.

Israel ketika ini berada di tempat ketiga Kumpulan I dengan sembilan mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Itali, mereka diatasi menerusi kelebihan jaringan.

Norway dilihat pilihan utama untuk menjuarai Kumpulan I sekaligus layak secara merit ke Piala Dunia 2026. Ini berpotensi menyaksikan perebutan slot play-off antara Itali dan Israel.

Walau bagaimanapun, sebarang keputusan tentang kedudukan play-off bergantung kepada keputusan kumpulan-kumpulan lain kelayakan Piala Dunia Zon Eropah.

Tindakan tidak berperikemanusiaan rejim di Semenanjung Gaza mengakibatkan lebih 65,000 orang terbunuh.

Hal ini turut menyebabkan Israel berdepan tuduhan jenayah perang dan kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Beberapa pemimpin utama rejim juga dikenakan waran tangkap oleh ICC.

Atas sebab itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mahu Israel dihalang daripada menyertai Piala Dunia seperti mana Rusia.

Malah, hal ini ditegaskan beliau menerusi kenyataan ini, “Israel tidak dibenarkan menggunakan platform antarabangsa untuk mencuci imejnya.”

Sepanyol ketika ini merupakan pasukan kedua terbaik di dunia dan berstatus juara EURO 2024.