Tunku Ismail Pelabur Baharu Kelab Bosnia, FK Sarajevo?
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dilaporkan bakal menjadi pelabur bagi sebuah kelab berpangkalan di Bosnia, FK Sarajevo.

Laporan terkini oleh laman SportSport mendedahkan bahawa Tunku Ismail ketika ini berada di dalam proses akhir sebelum memuktamadkan penyertaan dalam struktur pemilikan kelab bersejarah itu.

”Tunku Ismail sejak sekian lama mengimpikan satu langkah besar di pentas bola sepak Eropah, dan kini sedang dalam proses memuktamadkan pengambilalihan struktur pemilikan di FK Sarajevo,” lapor laman SportSport.

Portal Croatia, Index.hr pula mendakwa perbincangan antara Tunku Ismail dan pengurusan FK Sarajevo telah berlangsung hampir 6 bulan bersama salah seorang pemilik kelab, Ismir Mirvić di Kuala Lumpur bagi membincangkan butiran lanjut.

Buat masa ini, masih belum jelas sama ada Tunku Ismail akan mengambil alih sebahagian saham daripada pemilik sedia ada termasuk tokoh perniagaan Malaysia, Vincent Tan atau hadir sebagai pelabur ketiga dalam struktur kelab tersebut.

Nama Tunku Ismail sebelum ini pernah dikaitkan dengan kelab gergasi Sepanyol, Valencia CF, apabila baginda secara terbuka menyatakan minat untuk melabur dalam kelab La Liga.

Walau bagaimanapun, rundingan antara kedua-dua pihak itu difahamkan tidak berjaya untuk dimuktamadkan meskipun telah mencetuskan perhatian besar di peringkat antarabangsa.

Sekiranya pelaburan ini menjadi kenyataan, ini bakal menjadi langkah bersejarah buat Tunku Ismail dalam misi melebarkan pengaruh Baginda ke pentas bola sepak yang lebih besar di Eropah.

Sejak mengambil alih JDT pada tahun 2013, Baginda berjaya mengubah kelab itu menjadi sebuah kuasa besar bola sepak Malaysia dengan mengumpul 29 trofi utama, termasuklah 11 kejuaraan Liga Super berturut-turut.

Bukan sahaja di peringkat domestik, JDT di bawah kepimpinan Tunku Ismail juga mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi kejayaan menjulang Piala AFC 2015, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kelab paling berjaya di rantau Asia Tenggara.