DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim membangunkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan hanya untuk hari ini tetapi demi masa depan yang lebih gemilang. Dengan keberanian mencabar kelaziman, merombak struktur dan keluar daripada zon selesa, lahirlah sebuah kuasa bola sepak yang konsisten mendominasi. Bagi baginda, kejayaan bukanlah destinasi, tetapi sebuah perjalanan tanpa noktah.
Musim 2025 menampillan wajah baharu Harimau Selatan apabila hampir 70% daripada skuad terdiri daripada pemain baharu. Langkah ini bukan sekadar percaturan tetapi sebahagian daripada revolusi strategik demi kelestarian dan kesinambungan legasi agar kejayaan JDT tidak terhenti pada satu era.
Transisi mega sebegini pastinya hadir dengan risiko. Antara ujian terawal ialah aksi kedua Liga Super Malaysia 2025–26 menentang Negeri Sembilan FC yang menyaksikan JDT dibolosi tiga kali, serta kekalahan pada perlawanan sulung Kumpulan A Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2025–26 menentang Buriram United. Namun, kedua-dua perlawanan ini lebih mencerminkan kesilapan individu berbanding kelemahan taktikal. Hakikatnya, pasukan ini sedang membina keserasian, dan ujian sebegini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada proses menuju kematangan.
“Skuad baharu ini perlu diberi masa untuk matang dan mencapai keserasian. Transisi bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan yang menjamin masa depan JDT. Suatu hari nanti, pemain-pemain muda ini akan menggantikan generasi lama dan meneruskan legasi keagungan kelab.” – DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim
Menurut data Transfermarkt, 52% daripada skuad JDT musim 2025–26 berusia bawah 30 tahun, manakala 48% lagi berusia 30 tahun ke atas. Secara kolektif, purata umur skuad ialah 29.7 tahun, angka yang melambangkan keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda.
Kesimpulannya, apa yang berlaku hari ini hanyalah fragmen kecil dalam perjalanan besar JDT. Pada tiba waktunya, DYAM Pemangku Sultan Johor akan mengangkat JDT sebagai institusi bola sepak yang bukan sahaja dominan pada zamannya tetapi juga relevan dan berpengaruh melangkaui generasi.
Akhir kata, disebalik revolusi, transisi dan keberanian ini JDT sebenarnya sedang mendefinisikan kejayaan sebagai warisan berpanjangan bukan sekadar kejayaan sementara.