Harimau Malaya Panggil Gabriel Palmero Hadapi Laos
MakanBola
Malaysia NT

Pemain pertahanan Unionistas de Salamanca, Gabriel Palmero dipanggil Harimau Malaya untuk dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

Perkara itu dinyatakan pengurusan kelab tersebut menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab. Berita ini turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.

“Pemain bola sepak, Gabriel Palmero telah dipanggil skuad kebangsaan Malaysia untuk dua aksi menentang Laos.

“Perlawanan akan diadakan di stadium nasional di Laos pada 9 Oktober dan 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini menyaksikan Palmero bakal terlepas dua aksi bersama Unionistas de Salamanca. Beliau bukan saja akan terlepas aksi menentang Merida pada 12 Oktober.

Malah, Palmero juga akan terlepas aksi menentang kelab CD Tenerife pada 19 Oktober. Beliau tidak boleh diturunkan kerana statusnya sebagai pemain pinjaman pasukan itu.

Palmero sudah merekodkan dua penampilan bersama Harimau Malaya. Penampilan keduanya menyaksikan beliau membantu Malaysia menewaskan Palestin 1-0.