Hamidin Beri Kata Semangat Kepada Skuad Futsal Malaysia
UltraSukan
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin hadir memberi kata semangat kepada barisan skuad futsal negara.

Ini selepas barisan kepimpinan FAM mengadakan pertemuan dengan skuad negara di sebuah hotel di Kuantan pada 19 September lalu.

Pertemuan ini turut dihadiri Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Naib Presiden FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail, Exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Dalam sesi tersebut, Yusoff dan Hamidin memberi kata perangsang kepada barisan pemain untuk memburu kelayakan ke Piala Asia Futsal buat kali pertama sejak 2018.

Selain itu, anak buah Rakhpol Sainetngam diharap dapat mengambil aura skuad ‘generasi emas’ yang layak secara konsisten ke Piala Asia Futsal dari edisi 2003 hingga 2007.

“Saya berharap pemain-pemain yang ada sekarang dapat mengikuti jejak langkah pasukan futsal kebangsaan 20 tahun lalu di mana ketika itu, mereka cukup konsisten mara ke pusingan akhir Piala Asia.

“Jadi melihatkan barisan pemain sedia ada, saya percaya inilah masanya untuk kita mencipta kebangkitan semula dalam sukan futsal.

“Gunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan,” kata Yusoff dalam satu kenyataan.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan Kumpulan G dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada malam ini.