Rodrigo Holgado Bantu America de Cali Tamatkan Kemarau Kemenangan
MakanBola
America de Cali

Selepas mengharungi sembilan perlawanan liga Colombia tanpa kemenangan, Rodrigo Holgado dan kelabnya, America de Cali kembali ceria.

Ini selepas kelab yang berpangkalan di Cali, Colombia itu meraih kemenangan 2-1 ke atas Once Caldas. Berita tersebut turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.

Selepas ketinggalan menerusi Jefry Zapata pada separuh masa pertama, El Rojo bangkit pada separuh masa kedua.

Jhon Palacios dan Cristian Barrios memastikan America de Cali meraih tiga mata penuh pada akhir perlawanan.

Holgado turut beraksi dalam perlawanan sama. Penyerang Harimau Malaya itu beraksi selama 74 minit sebelum digantikan oleh Luis Ramos.

Kemenangan pertama El Rojo selepas sembilan perlawanan menyaksikan pasukan itu kini di tangga ke-17 dengan 10 mata, tiga mata di belakang Once Caldas yang menduduki tempat ke-12.

Holgado dan America de Cali berpeluang memperbaiki kedudukan liga apabila bertemu Deportivo Pasto pada 25 September.