Qatar Desak Usir Negara Haram, UEFA Putuskan Selasa Ini
MakanBola
UEFA

Rejim Israel berpotensi mengalami nasib serupa dengan Russia dalam arena bola sepak antarabangsa sekiranya usaha Qatar berjaya.

Wartawan sukan terkenal, Leyla Hamed mendedahkan usaha Qatar melobi Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk mengusir Israel dari badan induk itu.

Usaha itu dibuat sebagai tindak balas kepada serangan udara mengejut yang dilancarkan rejim ke atas Doha, Qatar pada 9 September lalu.

Serangan tersebut mensasarkan delegasi kumpulan pejuang Palestin yang berada di negara itu untuk merundingkan gencatan senjata dengan Israel. Serangan itu mengorbankan enam orang termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar.

Qatar yang berang dengan tindakan Israel memaklumkan bakal menggunakan semua saluran yang ada untuk menghukum negara tersebut.

Susulan itu, negara Asia Barat itu melobi UEFA agar Israel ditendang keluar dari badan induk itu sama seperti Russia pada 2022. Russia ditendang keluar dari UEFA susulan konflik antara negara itu dengan Ukraine.

Jawatankuasa Eksekutif UEFA bakal bermesyuarat pada Selasa ini bagi membincangkan usul tersebut. Usul menyingkirkan Israel dijangka mendapat sokongan majoriti negara ahli UEFA.

Sekiranya perkara itu berlaku, pasukan-pasukan Israel bukan saja tidak dibenarkan beraksi dalam pertandingan-pertandingan anjuran UEFA.

Malah, ini akan mempengaruhi kedudukan Kumpulan I untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah. Israel ketika ini menduduki tempat ketiga di belakang Itali dan pendahulu, Norway.

Antara negara berpotensi menyokong usul penyingkiran Israel ialah Sepanyol. Sepanyol sebelum ini menyatakan hasrat memboikot Piala Dunia 2026 sekiranya Israel layak.