Kelayakan Piala Asia Futsal: Malaysia Benam UAE
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia membuka kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2026 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan lebih-lebih lagi apabila Iran berpesta gol dengan menewaskan Bangladesh 12-0.

Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Harith Naim Nasir menjadi pilihan pengendali skuad negara, Rakhpol Sainetngam untuk merobek gawang UAE.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari peluang terbaik untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Peluang terbaik Malaysia hadir menerusi kapten, Khairul Effendy Mohd Bahrin pada minit ke-15. Malangnya, percubaan kapten Selangor FC itu dihalang Hamad Albaroud.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pembukaan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia terus mengenakan tekanan ke atas gawang UAE yang dikawal Hamad.

Malangnya, jentera serangan skuad negara terus gagal memanfaatkan peluang demi peluang yang terhidang di depan gol.

Tatkala UAE menyangka dapat mencuri satu mata, Awalluddin Mat Nawi menceriakan penyokong negara di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan dengan gol pada minit ke-38.

Malaysia terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan G di belakang Iran.

Kini, anak buah Rakhpol mengalihkan fokus kepada aksi kedua kumpulan menentang Bangladesh pada 22 September.