Bekas pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sah kembali ke kelab lamanya, Barcelona.
Ini selepas jurulatih berusia 41 tahun itu mendedahkan beliau kini menggalas peranan sebagai Pengarah Akademik Barcelona Innovation Hub.
“Saya gembira memulakan babak baru di FC Barcelona, kini sebagai Pengarah Akademik di Barcelona Innovation Hub.
“Saya menyertainya dengan niat menyumbang pengalaman saya, membangunkan program pendidikan yang terbaik dan membawa cara kita bekerja lebih hampir kepada dunia,” katanya di Facebook.
Pau Marti bukan asing dengan Barca. Sebelum menggalas tugas sebagai pembantu Kim Pan-gon, beliau menjadi penolong jurulatih Barcelona B-18, B-19 dan Barcelona B dari 2017 hingga 2022.
Selain Harimau Malaya dan Barcelona, Pau Marti juga pernah berkhidmat di Adelaide United, Hong Kong, Kitchee dan Tai Chung.
Selepas diberi tugas membimbing skuad negara pada pertengahan 2024, beliau membantu Malaysia bergelar juara Pestabola Merdeka 2024.
Sebaik saja pengumuman beliau dikongsikan di media sosial, ramai figura mengucapkan selamat berjaya kepada Pau Marti untuk peranan barunya di Barcelona.
Antara yang berbuat demikian ialah dua pemain Harimau Malaya, Daniel Ting dan Syamer Kutty Abba. Selain mereka, rakan senegara dan jurulatih Shenzhen Peng City, Pep Munoz turut mengucapkan tahniah.