Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva kini sah bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Sebelum ini, beliau berkongsi kedudukan tersebut dengan legenda Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin dengan 106 gol.
Gol tersebut dicatatkan dalam aksi liga antara Harimau Selatan dan Negeri Sembilan FC pada 12 Ogos lalu.
Kini, penantian Bergson untuk memintas rekod Indra berakhir dalam aksi JDT menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bekas penyerang Fortaleza itu meledakkan gol ke-107 menerusi penalti pada separuh masa kedua. Ini selepas Bergson dijatuhkan M. Rakesh dalam kotak penalti.
Ini disusuli gol ke-108 menerusi tandukan yang menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Rekod tersebut turut disahkan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Menariknya, rekod ini dilakar Bergson dalam tempoh kurang daripada lima musim.
Gol tersebut dijangka membakar semangat Bergson untuk mempertahankan anugerah Kasut Emas yang dimenangi pada musim lalu.
JDT ketika ini mendahului Sabah 7-0 dengan perlawanan masih berbaki 15 minit. Selain Bergson, Joao Figueiredo, Raul Parra dan Oscar Arribas mencetak nama sebagai penjaring.