Zaquan Adha Dedah Rahsia Kehebatan Guilherme De Paula Di Depan Gawang
MakanBola
KL Hawks

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak mendedahkan bekas rakan sepasukannya, Guilherme de Paula memiliki rahsia tersendiri dalam mendapatkan gol.

Semasa beraksi bersama Kuala Lumpur (kini KL City FC), bekas penyerang Selangor FC itu memberi insentif wang buat rakan-rakan sepasukan mencipta bantuan gol untuknya.

“Saya ada seorang rakan penyerang, seorang pemain import dari Brazil yang saya tak perlu sebut siapa. Beliau memikirkan bagaimana hendak mendapatkan (hantaran) daripada rakan sepasukan.

“Beliau kata siapa bagi bantuan gol dekat dia, dia bagi RM50 atau RM100. Itu salah satu cara seseorang pemain import meletakkan dirinya di hadapan. Siapa yang bagi dia bantuan gol, dia bagi sedikit elaun,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Meskipun Zaquan tidak mendedahkan siapa pemain berkenaan, ramai peminat bola sepak negara percaya beliau merujuk kepada de Paula.

Zaquan dan de Paula beraksi bersama The City Boys pada musim 2018. Musim tersebut menyaksikan bekas penyerang Milsami Orhei itu meledakkan 25 gol.

27 gol de Paula membantu Kuala Lumpur pada 2017 layak ke Liga Super musim 2018. Musim 2017 juga turut menyaksikan kemunculan susuk tubuh yang dikenali peminat pasukan Lembah Klang itu, Paulo Josue.

De Paula dan Josue kemudiannya menjadi pemain naturalisasi Malaysia masing-masing pada 2021 dan 2023.