Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mengakui tidak pernah terbayang untuk memecahkan rekod penyerang legenda, Indra Putra Mahayuddin.
Rekod Indra selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super akhirnya lebur dalam aksi terbaru liga antara JDT dan Sabah FC pada 21 September lalu.
Bergson yang beraksi dalam kesebelasan utama Harimau Selatan meledakkan hatrik dalam perlawanan tersebut.
Tiga gol tersebut sudah cukup buat bekas penyerang Fortaleza itu mengatasi legenda Harimau Malaya itu dengan 109 gol berbanding Indra (106 gol).
Apabila ditanya tentang pencapaiannya itu, Bergson mengakui terkejut kerana dapat mengatasi rekod yang dicipta Indra.
“Saya tak pernah terbayang sebelum saya datang (ke Malaysia), untuk pecahkan rekod (Indra) dan menjaringkan banyak gol.
“Tapi selepas saya melakukannya, sekarang ialah cabaran baru (buat saya),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Hatrik Bergson membantu JDT membelasah Sang Badak 8-0. Selain beliau, Joao Figueiredo, Oscar Arribas dan Raul Parra turut mencetak nama sebagai penjaring.