Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan merasa gusar dengan permulaan goyah Selangor FC dalam menghadapi kempen musim 2025/26.
Ini kerana pasukan itu sudah tewas tiga daripada lima aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan. Terbaru, The Red Giants tewas 1-0 di tangan Kuching City FC.
Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Ramadhan Saifullah muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan The Cats pada separuh masa kedua.
Zainal merasa gusar dengan prestasi tidak menentu anak buah Katsuhito Kinoshi terutama di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Justeru, beliau menggesa pasukan gergasi Lembah Klang itu segera bangkit agar tampil lebih cemerlang di pentas domestik dan benua.
“Tahun lepas, kita tahu ada beberapa kelemahan yang ada pada Selangor. Jadi, kita berharap dengan dua kejohanan iaitu ACL dan Shopee Cup, maknanya kita mahukan yang lebih daripada Selangor untuk memberi saingan dan membawa nama Malaysia.
“Tapi kebelakangan ini, kita masih lagi nampak (Selangor) tidak tersusun dan tidak mendapat kombinasi yang baik. Kita sudah melihat keputusan (di mana) mereka sudah tewas tiga perlawanan.
“Jadi, ini sesuatu yang harus diperbaiki demi kebaikan bola sepak domestik dan nasional,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selepas ini, Selangor akan menghadapi cabaran BG Tampines Rovers untuk aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup. Ini disusuli aksi kedua Kumpulan G ACL2 menentang Lion City Sailors (LCS) pada 1 Oktober.