Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menggesa Brunei DPMM FC merekrut lebih ramai pemain berkualiti untuk membantu pasukan itu mengharungi musim 2025/26.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih Penang FC itu apabila ditanya tentang prestasi pasukan yang dibimbing Jamie McAllister itu.
Selepas kembali ke Liga Super buat kali pertama sejak 2008, DPMM dilihat bergelut bila bersaing dengan pasukan-pasukan lain.
Pasukan itu tewas dengan jumlah jaringan besar sebanyak tiga kali dalam tujuh aksi Liga Malaysia (Liga M). Ini termasuk kekalahan 4-0 di tangan KL City FC.
Selain itu, DPMM juga gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam Liga Super. Satu-satunya kemenangan mereka musim ini ialah kemenangan 3-2 ke atas Kuching City FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.
Akmal melihat suntikan lebih ramai pemain berkualiti amat diperlukan DPMM jika mereka tidak mahu ketinggalan lebih jauh dalam Liga Super.
“Ya, memang perlu ada penambahan pemain berkualiti. Dari segi bajet pasukan, tidak ada masalah,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
“Jadi, ini yang merugikan kerana mereka ada segala-galanya tetapi tidak membawa pemain import yang lebih berkualiti dalam pasukan. Jadi, itu yang perlu dilihat.
“Tapi sebelum sampai ke tarikh tetingkap perpindahan, kita kena lihat cara Jamie McAllister kembali mengukuhkan kembali pasukan (dan) menaikkan kembali motivasi pasukan.”
DPMM sebelum ini dikaitkan dengan bekas bek tengah Manchester United, Tyler Blackett dan pemain Ratchaburi, Faiq Bolkiah.