KL City Disekat Daftar Pemain Hingga 3 Jendela Perpindahan?
MakanBola
KL City FC

KL City FC berdepan kemungkinan tidak dapat mendaftarkan pemain baharu untuk tiga jendela perpindahan.

Kemungkinan ini timbul susulan satu khabar terbaru yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Beliau memaklumkan The City Boys berdepan kemungkinan larangan pendaftaran pemain sehingga tiga jendela perpindahan.

Ini berlaku kerana KL City dilaporkan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas jurulatih penjaga gol dari Brazil, Guilherme Almeida.

“Isu tunggakan gaji bekas penjaga gol Guilherme Almeida, KL City difahamkan dikenakan hukuman larangan daftar pemain tempatan dan antarabangsa yang baharu untuk maksimum tiga tempoh pendaftaran keseluruhan secara berturut-turut dengan serta merta,” katanya di X.

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) berhubung sekatan perpindahan tersebut.

Sekiranya khabar ini menjadi kenyataan, ini bakal menyukarkan perancangan jurulatih KL City, Risto Vidakovic bukan saja untuk musim 2025/26 tetapi juga pada musim hadapan.