Piala EFL: Liverpool ‘Mandi Peluh’ Tewaskan Southampton
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool dipaksa bekerja keras oleh Southampton sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat Piala EFL.

Liverpool berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Everton baru-baru ini. The Saints pula berharap dapat mencipta kejutan ke atas The Reds selepas dimalukan Hull City.

Pengurus Liverpool, Arne Slot memberi peluang kepada dua pemain baharu, Giorgi Mamardashvili dan Giovanni Leoni dalam kesebelasan utama. Jurulatih Southampton, Will Still pula memilih Adam Armstrong sebagai sandaran gol.

Separuh masa pertama menyaksikan The Reds hampir mendahului seawal minit pertama menerusi Alexander Isak. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Alex McCarthy.

Lima minit kemudian, giliran pelawat pula menguji Mamardashvili menerusi Armstrong. Bekas penjaga gol Valencia itu pantas menafikan percubaan bekas penyerang Blackburn Rovers itu.

Penyokong Liverpool kemudiannya ceria apabila Isak membuka tirai jaringan pada minit ke-43. Bekas penyerang Newcastle United itu tenang menyempurnakan hantaran Federico Chiesa melepasi McCarthy.

Pelawat cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Slot membawa masuk Hugo Ekitike sebagai pengganti Isak di bahagian serangan.

The Reds menyangka mereka telah mendapat gol kedua menerusi Chiesa pada minit ke-62. Malangnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Tatkala tuan rumah terus menguasai perlawanan, anak buah Still meraih gol penyamaan pada minit ke-76. Shea Charles pantas membuat tolakan mudah melepasi Mamardashvili.

Tatkala perlawanan seakan diheret ke penentuan sepakan penalti, Ekitike muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Walau bagaimanapun, bekas penyerang Paris Saint-Germain itu kemudiannya dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua. Ini selepas Ekitike membuka baju untuk meraikan jaringannya.

Southampton cuba memberi tentangan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Chiesa dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.7.

Selepas ini, Liverpool akan menentang Crystal Palace pada 27 September. The Saints pula akan menentang pendahulu Liga Kejohanan, Middlesbrough pada hari yang sama.