Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli melihat Joao Figueiredo sebagai satu contoh yang patut dicontohi penyerang tempatan terutama pemain muda.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat Figueiredo meledakkan hatrik dalam aksi Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC baru-baru ini.
Selepas menyertai Harimau Selatan, penyerang Harimau Malaya itu sudah meledakkan sembilan gol dan mencipta dua bantuan gol setakat ini.
Akmal mengakui kagum melihat Figueiredo pantas menyesuaikan diri bersama JDT dan menjaringkan gol-gol penting.
Atas sebab itu, beliau melihat keterampilan yang dibawa bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu patut dicontohi mana-mana pemain yang memiliki aspirasi beraksi untuk Harimau Malaya.
“Tak semua pemain terutama pemain import datang ke liga baru dan cepat menyesuaikan diri dengan suasana liga itu. Tapi Figueiredo bukan setakat bersama Harimau Malaya tetapi bersama JDT, beliau cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.
“Kita lihat pada malam ini, beliau berada pada masa dan tempat yang tepat untuk menyudahkan tiga hantaran. Jadi, saya rasa ini antara prospek utama bola sepak Malaysia.
“Kita harap penyerang kita menjadikan ini yang patut dicontohi. (Figueiredo) ini tanda aras buat seorang penyerang. Mana-mana pemain muda yang nak berada dalam skuad kebangsaan, ini pemainnya,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Selain Figueiredo, Bergson da Silva, Oscar Arribas dan Raul Parra turut membantu JDT meraih kemenangan 8-0. Bergson turut mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman liga yang baharu.
Bisa Figueiredo bakal ditagih JDT untuk aksi kedua Kumpulan B Shopee Cup menentang Bangkok United pada 25 September.