Kelayakan Piala Asia Futsal: Malaysia Tewas Kepada Iran
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia dalam kedudukan baik ke Piala Asia Futsal 2026 meskipun tewas kepada jaguh Asia, Iran dalam aksi terakhir Kumpulan G.

Kedua-dua pasukan sedar mereka boleh layak secara merit ke Piala Asia Futsal sebagai juara kumpulan. Jika skuad negara tewas sekalipun, Malaysia masih layak selaku naib juara terbaik kumpulan.

Pengendali skuad negara, Rakhpol Sainetngam membuat satu pertukaran dengan memasukkan Saad Sani menggantikan Mahadir Harahap Khairuddin.

Separuh masa pertama menyaksikan Iran berusaha mencari gol awal Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan. Gol yang dicari muncul pada minit ketiga menerusi Mehdi Mehdikhani.

Pemain Iran, Hossein Sabzi terpaksa diusung keluar dari stadium kerana mengalami kecederaan lutut. Kecederaan itu terjadi selepas beliau tergelincir ketika cuba mengawal Awalluddin Mat Nawi.

Hossein Derakhshani menggandakan kelebihan juara Asia 13 kali itu pada minit ke-12. Hossein pantas menolak bola melepasi penjaga gol, Syaifuddin Syukri.

Syahir Iqbal Khan Akbar Khan hampir menggegar jaring Iran empat minit selepas itu. Malangnya, percubaan beliau disekat penjaga gol Iran, Saied Momeni.

Iran berusaha memburu gol tambahan tetapi Malaysia memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Iran terus berusaha memberi tekanan ke arah gawang skuad negara yang dikawal Syaifuddin.

Malangnya, pasukan Asia Barat itu dilihat buntu menembusi barisan Malaysia yang kental mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi.

Gawang Malaysia akhirnya bocor buat kali ketiga menerusi Hossein Tayyebi. Hossein pantas menolak bola yang terkena tiang ke dalam gawang negara yang kosong pada minit ke-33.

Tiga minit kemudian, giliran Khalilvand Somehsofla pula mencetak nama sebagai penjaring pasukan Iran.

Malaysia hampir mengurangkan defisit gol menerusi Saad Sani pada minit ke-38. Penyokong negara hampa kerana percubaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu terkena tiang.

Malaysia terus berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun tewas, Malaysia dalam kedudukan terbaik untuk mara ke Piala Asia Futsal 2026.