Kapten Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan kejayaan menewaskan Tampines Rovers sebagai hadiah buat penyokong pasukan itu.
Selepas tewas dalam dua aksi terakhir, The Red Giants bangkit dengan menewaskan The Stags 4-2 dalam aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup.
Selain Faisal, Zach Clough dan Alvin Fortes turut mencetak nama sebagai penjaring dengan Shuya Yamashita menjaringkan gol sendiri.
Pelawat meraih gol saguhati menerusi penalti Koya Kazama dan dan Hide Higashikama. Aksi ini turut menyaksikan rekod kebal Tampines Rovers dalam semua kejohanan lebur.
Faisal menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna selepas kecundang dalam dua aksi sebelumnya. Pemain sayap kebangsaan itu melihat kemenangan ini sebagai hadiah buat penyokong yang setia menyokong Selangor.
“Pertama sekali, Alhamdulillah pasukan dapat tiga mata yang penting. Kita ada situasi turun naik dalam beberapa perlawanan.
“Tetapi saya sebagai kapten, saya perlu memberi semangat kepada pasukan saya. Saya memang bangga dengan rakan-rakan saya. Kita berjuang sehingga wisel yang terakhir.
“Dan ini hasilnya, kita dapat empat jaringan (tetapi) bukan mudah. Tahniah buat semua pemain dan ini hadiah buat penyokong Selangor,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Red Giants kini berkongsi tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata bersama BG Pathum United. The Stags pula jatuh di tangga ketiga dengan tiga mata.
Selepas ini, Selangor mengalihkan fokus untuk aksi Piala Sultan Selangor 2025 yang akan berlangsung pada 27 September. Faisal berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara edisi 2024 untuk kejohanan kali ini.