Rodrigo Holgado & America de Cali Lebar Rentak Kemenangan
MakanBola
America de Cali

Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado ceria membantu kelabnya, America de Cali melebarkan rentak kemenangan kepada dua perlawanan.

Sebelum ini, Holgado dan El Rojo lega kerana berjaya mengakhiri penantian sembilan perlawanan liga tanpa kemenangan. Hal ini dicapai dengan menewaskan Once Caldas 2-1 baru-baru ini.

Kini, satu lagi kemenangan dilakar America de Cali dalam aksi menentang Deportivo Pasto. Tuan rumah bernasib malang apabila Nicolas Gil Uribe menjaringkan gol sendiri pada minit ke-41.

El Rojo kemudiannya menggandakan kelebihan mereka menerusi penalti pemain tengah Colombia, Rafael Carrascal pada minit ke-58. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Holgado beraksi lebih 90 minit dalam perlawanan tersebut sebelum digantikan oleh Adrian Ramos pada minit ke-93.

Ramai penyokong America de Cali berharap prestasi baik ini dapat menjadi pemangkin semangat buat penyerang berusia 30 tahun itu menemui sentuhan gol.

Semakan di Transfermarkt mendapati kali terakhir Holgado menjaringkan gol ialah 28 April lalu ketika menentang musuh setempat, Deportivo Cali.