Kelantan Red Warrior Lapor Polis Kes Media Sosial Digodam
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Presiden Kelantan Red Warrior FC, Datuk Zaki Harun telah mengambil tindakan undang-undang berkaitan kes media sosial pasukan yang digodam pihak tak bertanggungjawab.

Perkara ini dikongsikan oleh Datuk Zaki Harun menerusi satu sesi sidang media di ibu kota pada Khamis bagi menjelaskan isu yang sedang dihadapi oleh barisan pengurusan Kelantan Red Warrior ketika ini.

”Hari ini, kami hanya ingin menjelaskan masalah yang sedang dihadapi. Sebagai sebuah kelab baharu, sudah pasti terdapat banyak cabaran.”

“Namun pada peringkat awal ini, kami juga telah berjaya menyelesaikan sebahagian besar daripadanya,” kata Datuk Zaki Harun sambil ditemani bekas presiden, Nik Hafiz dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Fajarul.

Jelas beliau, media sosial rasmi Kelantan Red Warrior baru-baru ini telah digodam oleh individu tak bertanggungjawab sehingga menimbulkan sedikit gangguan kepada perjalanan pasukan.

“Kami kini memberi fokus kepada aksi yang bakal ditempuhi. Salah satu masalah yang dihadapi ialah membabitkan media sosial kelab yang telah digodam oleh individu atau pihak tertentu.

“Situasi ini menimbulkan gangguan terhadap pengurusan kelab. Justeru, mungkin bersama bekas presiden, kami boleh mengenal pasti perkara ini dengan lebih jelas.”

Oleh itu, pihak pengurusan kelab yang dipimpin oleh Datuk Zaki Harun mengambil tindakan pantas dengan melakukan laporan polis untuk memastikan siasatan lanjut dapat dibuat.

“Untuk makluman, perkara ini telah pun dibawa ke pihak polis. Laporan juga sudah dibuat oleh pengerusi kelab, dan difahamkan siasatan sedang dijalankan. Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” jelas beliau.

Segala maklumat terkini pasukan Kelantan Red Warrior boleh didapati di laman Facebook dan TikTok baharu.