Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih kepada KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahad Mua’adzam Shah.
Penghargaan itu dizahirkan pengurusan FAM diketuai Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Ini selepas Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Asia Futsal 2026 antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada 20 September lalu.
Baginda diiringi Tengku Fahad dan Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal. Aksi tersebut turut disaksikan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Yusoff menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah kerana kehadiran baginda menyuntik semangat skuad negara untuk berjuang dalam pusingan kelayakan.
“Bagi pihak FAM, patik ingin menjunjung kasih dan merafak setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Tuanku Al Sultan Abdullah yang berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan perlawanan Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 antara Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Tertutup SUKPA.
“Keberangkatan KDPB Tuanku ke perlawanan penting ini adalah satu penghormatan besar kepada seluruh warga futsal tanah air, khususnya buat pasukan kebangsaan yang berjuang mengharumkan nama negara,” katanya.
Yusoff turut menjunjung kasih kepada Tengku Fahad dan Pahang Rangers FC atas sokongan padu yang diberi bagi memastikan semua aksi kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di Kuantan berjalan lancar.
“Bagi pihak Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan warga sekretariat FAM, patik menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tengku Fahad yang mana Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di SUKPA berlangsung dengan jayanya.
“Kejayaan penganjuran pertandingan berprestij di Asia ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat daripada pihak Kelab Futsal Pahang Rangers (PRFC) yang diterajui sendiri oleh Yang Amat Mulia,” ujarnya.
Malaysia layak secara merit ke Piala Asia Futsal 2026 apabila menjadi sebahagian daripada tujuh naib juara terbaik kumpulan peringkat kelayakan.
Meskipun tewas 4-0 di tangan Iran, itu sudah cukup untuk memastikan anak buah Rakhpol Sainetngam layak buat kali pertama sejak edisi 2018.