Nik Hafiz Dedah Kronologi Media Sosial Kelantan Red Warrior Digodam
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Presiden Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK), Nik Hafiz Naim Nik Hassan mendedahkan kronologi kejadian yang menyebabkan akaun media sosial Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) digodam.

Nik Hafiz memaklumkan perkara ini berkait dengan peralihan pemilikan kelab tersebut daripada GSK kepada Naskeen Coffee.

Beliau turut mendedahkan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dibuat oleh seorang pegawai media GSK.

Pegawai media tersebut seharusnya menyerahkan semua aset digital kelab kepada Naskeen Coffee. Malangnya, individu tersebut memilih menggodam akaun media sosial kelab itu sehingga ia tergendala.

Lantaran itu, GSK dan Naskeen Coffee masing-masing telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

“Pada awal bulan Ogos, kita telah laksanakan penjualan dan penyerahan kelab dari GSK kepada Naskeen Coffee. Semasa peralihan tersebut, seorang anggota kita dari GSK iaitu pengurus media kita telah menggodam akaun Facebook dan TikTok (Kelantan RW).

“Jadi, sepatutnya apabila kita telah menjual (Kelantan RW), kita telah mengarahkan beliau untuk memberi segala aset digital kepada Naskeen Coffee. Tetapi beliau mengingkari (arahan tersebut) dan telah menggodam (dua akaun berkenaan).

“Rentetan daripada itu, berlakulah beberapa insiden yang tidak diingini di Facebook dan TikTok sehingga ia tergendala. Lantaran itu, Naskeen Coffee dan GSK telah membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media hari ini.

Nik Hafiz berharap dengan penjelasan tersebut, ini dapat menjawab persoalan penyokong Kelantan RW tentang situasi yang melanda beberapa akaun media sosial kelab berkenaan.