Shopee Cup: JDT Tiada Masalah Benam Bangkok United
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT berjaya menumpaskan pasukan Bangkok United dengan keputusan 4-0 bagi aksi kedua Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Skuad tuan rumah, JDT menurunkan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Bergson Da Silva mengemudi jentera serangan manakala Afiq Fazail menggalas lilitan kapten pasukan.

Sementara itu, Bangkok United membariskan Patiwat Khammai di benteng terakhir dan Muhsen Al-Ghassani sebagai ayam tambatan skuad tersebut.

Skuad julukan Bangkok Angels dilihat menyerang kubu pasukan JDT seawal 5 minit perlawanan namun gagal menembusi gawang yang dikawal oleh Syihan Hazmi.

Bangkok United berjaya mendapat sepakan penalti pada minit ke 18′ namun selepas penilaian VAR (Video Assistant Referee) dibatalkan kerana terjahan Jon Irazabal ke atas Muhsen Al-Ghassani didapati tidak berbahaya.

Harimau Selatan tampak menguasai penuh perlawanan pada 15 minit terakhir dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Bangkok United namun segala percubaan skuad tersebut tersasar.

Tambahan masa 4 minit pada separuh masa pertama turut tidak dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan bagi mencari gol pembukaan.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad JDT terus mengasak kubu pasukan Bangkok United bagi mendapatkan jaringan dan sekaligus menceriakan ribuan penyokong sendiri.

Bergson Da Silva berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 46′ hasil bantuan gol oleh pemain pertahanan JDT, Oscar Arribas.

Selepas itu, penyerang sensasi kebangsaan Malaysia, Joao Figueiredo turut meledak gol pada minit ke 52′ aksi sekaligus menjarakkan kedudukan dengan 2 gol di hadapan.

Memasuki minit ke 70′ perlawanan kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, JDT dengan keputusan 2-0.

Bergson berjaya menambah jaringan ke 3 perlawanan pada minit ke 73′ bagi mematikan langkah pasukan pelawat, Bangkok United.

Bergson Da Silva mencatatkan hatrik perlawanan pada masa tambahan separuh masa kedua sekaligus menutup aksi bergaya skuad Harimau Selatan.

Perlawanan tamat dengan keputusan 4-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT dan memastikan tuan rumah membawa pulang 3 mata penuh di halaman sendiri.

JDT bakal meneruskan aksi dalam ACL Elite musim ini dengan menentang Machida Zelvia pada 30 September dan Bangkok United bakal menentang Ratchaburi bagi aksi ke 6 Liga Thailand pada 28 September.