Ada Entiti Luar Negara Cuba Sabotaj Projek Harimau Malaya?
MakanBola
Malaysia NT

Projek revolusi Harimau Malaya yang dibangunkan sekitar hujung tahun lalu dikatakan cuba disabotaj oleh pihak dari luar negara.

Skuad Harimau Malaya menerima nafas baharu hasil cetusan idea daripada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dengan kedatangan tenaga-tenaga pakar dalam usaha merevolusikan pasukan.

Rob Friend dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Peter Cklamovski pula berperanan melatih pasukan selain pakar perubatan, Dr Craig Duncan melengkapkan projek Revolusi Harimau Malaya ini.

Malah, skuad kebangsaan turut berjaya untuk menarik minat pemain warisan yang berada di luar negara, menyarung jersi Malaysia antaranya Facundo Garces, Gabriel Palmero serta Rodrigo Holgado.

Hasil projek yang digerakkan oleh Baginda ini, skuad negara berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan pada tahun ini dengan mencatat 4 kemenangan dan hanya 1 keputusan seri.

Walau bagaimanapun, usaha menaikkan pasukan Malaysia di pentas tertinggi ini memperoleh reaksi kurang baik beberapa pihak dengan dilaporkan ada cubaan sabotaj oleh entiti dari luar negara.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, ada usaha untuk menggangu skuad kebangsaan Malaysia oleh entiti luar negara yang mempunyai hubungan rapat dengan FIFA.

“Terdapat khabar angin yang mengatakan beberapa entiti luar negara sedang berusaha untuk sabotaj pasukan kebangsaan kerana bimbang dengan kebangkitan Harimau Malaya.”

“Entiti- entiti tersebut kelihatan rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi FIFA,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.

Walau bagaimanapun, identiti pihak tidak bertanggungjawab terbabit tidak didedahkan dengan hanya sangkaan peminat sahaja yang bertiup kencang buat masa ini.