“Tanya Tunku Ismail Apa Perlu Buat” – Khairy Jamaluddin
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merujuk DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terlebih dahulu berhubung soal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Saranan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang kesediaan badan induk itu memikul tanggungjawab berkaitan NFDP.

Sebelum ini, bukan sekali kepimpinan FAM pernah menyatakan kesediaan untuk mengambil alih operasi berkaitan NFDP.

Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM berpandangan sebelum badan induk itu mengambil alih NFDP, mereka patut merujuk perkara itu kepada Tunku Ismail terlebih dahulu.

Ini kerana pada hemat beliau, baginda yang juga pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih arif tentang pembangunan akar umbi.

Bukan sekali pasukan muda JDT melakar kejayaan di pelbagai peringkat umur termasuk bergelar juara Piala Presiden dan Piala Belia.

“Bagi saya, ya. Sebab mereka kena selesaikan isu kepimpinan sebab sekarang ini Presiden (Datuk Mohd Joehari Ayub) tiada, ada Pemangku Presiden (Datuk Wira Yusoff Mahadi).

“Minta nasihat daripada TMJ. Minta nasihat daripada TMJ apa yang patut kita buat. Kita semua tahu benda ini,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.

Khairy turut mengulangi pendirian bahawa beliau tidak berminat merebut jawatan Presiden FAM.