Terima Tekanan Untuk Sekat Negara Haram, Tiba-tiba Malaysia Jadi Mangsa
MakanBola
Haziq/MakanBola

Bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pengumuman FIFA yang menjatuhkan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta 7 pemain warisan Harimau Malaya. Keputusan itu diumumkan oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA selepas mendakwa berlaku isu pemalsuan dokumen melibatkan kelayakan pemain.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000, manakala 7 pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano turut dikenakan denda CHF2,000 seorang serta penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Hukuman ini datang hanya beberapa bulan selepas Harimau Malaya melakar kemenangan penting menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027. Namun, segalanya bertukar menjadi krisis apabila aduan dibuat terhadap kesahihan kelayakan beberapa pemain yang diturunkan.

FAM dalam kenyataannya mengesahkan akan mengemukakan rayuan dalam tempoh ditetapkan oleh FIFA. Badan induk itu juga menegaskan mereka akan memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan, selain percaya isu ini mampu diselesaikan dengan cara yang adil.

Namun, di sebalik hukuman mengejutkan ini, timbul persoalan besar. Adakah Malaysia benar-benar menjadi mangsa kepada tindakan FIFA yang seolah-olah tergesa-gesa menjatuhkan hukuman? Sedangkan dalam banyak kes lain, termasuk melibatkan kuasa besar bola sepak dunia, tindakan sebegini jarang sekali diambil dengan pantas.

Naratif berat sebelah mula diperkatakan. Ketika dunia bola sepak semakin lantang memberi tekanan kepada FIFA dan UEFA untuk bertindak tegas terhadap penglibatan negara haram, Israel, tiba-tiba tumpuan global dialihkan kepada Malaysia. Tindakan drastik terhadap FAM dan Harimau Malaya seolah memberi isyarat bahawa FIFA lebih pantas menghukum negara kecil berbanding menyelesaikan isu besar yang sedang dipersoalkan masyarakat antarabangsa.

Selepas menerima tekanan hebat daripada pelbagai pihak untuk menyekat penglibatan Israel, wujud tanggapan bahawa FIFA kini cuba mengalihkan perhatian dunia dengan menjadikan Malaysia sebagai contoh’. Soalnya, adakah ini satu kebetulan atau benar-benar usaha untuk menutup isu lain yang lebih sensitif di peringkat global?

Walau apa pun, perjuangan Harimau Malaya tidak akan berhenti di sini. Malaysia berhak mendapatkan pembelaan, dan rayuan yang bakal dibuat FAM menjadi penentu sama ada keadilan dapat ditegakkan atau sekali lagi politik antarabangsa mengatasi semangat kesukanan.