Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin merasa hairan dengan tindakan FIFA mengubah fikiran tentang isu dokumentasi membabitkan FAM dan tujuh pemain warisan negara.
Pandangan itu dibuat beliau apabila mengulas tindakan FIFA menghukum FAM dan tujuh pemain terbabit atas dakwaan menggunakan dokumen palsu.
Khairy yang juga bekas Timbalan Presiden FAM merasa hairan mengapa FAM dikenakan tindakan sebegitu rupa daripada badan induk bola sepak antarabangsa itu.
Ini kerana pada hematnya, FAM telah melengkapkan semua langkah yang dinyatakan FIFA dalam mendapatkan tujuh pemain warisan tersebut untuk mewakili negara.
Khairy juga merasa hairan tentang siapa pihak yang memfailkan aduan terhadap FIFA berhubung perkara ini.

“Pelik. FIFA sudah memberi kelulusan seperti yang ditunjukkan dalam proses. Ini bermakna FIFA sudah mengkaji semua dokumen dan telah membuat penilaian wajar sebelum membenarkan tujuh pemain ini bermain untuk Malaysia.
“Mengapa FIFA mengubah fikiran mereka sekarang? Siapa yang kemukakan aduan (kepada FIFA)?” katanya dalam satu hantaran di Instagram Story. Ia turut dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Selain Khairy, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor juga merasa pelik dengan apa yang berlaku. Malah, baginda turut berkongsi semula hantaran bekas Menteri Kesihatan itu di Instagram.